Ahad, 1 Mac 2009

Beriman kepada qada dan qadar Allah

www.iluvislam.com
Lailatulema
Editor:lailatulema



Takdir,Opick dan Melly


‘Jika ada jodoh bertemu juga kita kerana jodoh,hidup dan mati terletak di tangan Allah swt.’


Itulah ayat yang biasa kita dengari terutamanya bila berkait dengan perihal jodoh dan rezeki. Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah swt kerana dengan kebijaksanaan Sang Pencipta yang Maha Memahami dijadikan kepercayaan kepada qada’ dan qadar sebagai sebahagian daripada rukun iman.


Mengapa tiba-tiba sahaja saya berkata begitu? Sebagaimana kebanyakan kita menerima sahaja apa yang diwahyukan melalui Nabi Muhammad saw, begitulah jua diri ini. Namun selama 2 minggu saya berada di bahagian kesihatan mental atau lebih dikenali sebagai bidang psikatari telah menyedar dan membangunkan diri dari kealpaan mengenai rukun iman ke enam ini,benarlah janjinya:

‘Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.’ (An-Nahl:78)

Kebanyakan mereka yang dimasukkan ke dalam wad-wad di hospital merupakan mereka yang benar-benar kritikal dan telah cuba berkali-kali untuk menghabiskan riwayat diri dan amanah kurniaan Yang Maha Esa. Tahukan sahabat mengapa? Tepat sekali! Ianya berkait rapat dengan hal keduniaan yang membawa kepada kebinasaan mereka ini khususnya berkaitan tekanan hidup, isu rumah tangga, wang, anak-anak dan ada juga yang diperkosa oleh ayah sendiri dan pelbagai lagi alasan yang menyedihkan.

Namun itu bukanlah tujuan saya menulis. Marilah wahai sahabat yang saya kasihi sekalian, marilah melihat dan bermuhasabah kembali, jika bukan kerana kekuatan dan keyakinan kepada rukun iman ke enam ini pastinya kita semua dan kemungkinan sebahagian populasi dunia menghadapi masalah tekanan jiwa. Kata-kata ‘Biarlah ,tiada rezeki, telah Allah tentukan’ dan pelbagai lagi keluhan yang berbunyi aduan kepadaNYAlah yang membezakan kita dengan mereka. Ini bertepatan dengan janji Allah swt:

‘Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid)… ‘ (Al-Kahfi:14)

Beriman kepada takdir bererti percaya bahawasanya Allah swt mengetahui perjalanan hamba-hambaNYA dan mengawasi hal ehwal mereka serta mentadbir urusan mereka, dan percaya bahawa segala sesuatu yang berlaku dalam alam adalah dengan izinNYA. Serta bahawa apa sahaja yang mengenai manusia,sama ada yang bermanfaat mahupun yang mudarat adalah dengan iradat dan qudrat NYA.*

‘Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.’ (At-Taghabun:11)

Oleh itu setelah berusaha sebaik mungkin, serahkanlah hasilnya untuk ditentukan oleh Yang Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih. Apa jua yang berlaku diterima dengan jiwa yang tenteram dan penuh keyakinan bahawa segala sesuatu telah diatur oleh Allah swt, dan DIA takkan sekali-kali menzalimi hamba-hambaNYA.

‘Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal. ‘ (At-Taubah:51)

‘Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.’ (Al-Imran:108)

Dan kerana janjiNYA mengenai hari keadilan yang pasti, menawarkan ganjaran yang berlipat kali nikmatnya berbanding di dunia ini membuatkan kita masih teguh berdiri.Mencuba sebaik mungkin mendepani setiap cabaran dan dugaan yang dihadapi. Walau diri ini penuh dengan dosa dan amat hina di hadapanNYA.Namun, janjiNYA yang benar untuk menerima taubat setiap hambaNYA yang mengharapkan ampunan dan redha Ilahi menjadi penawar luka di hati untuk membaiki diri.

Oleh itu,marilah wahai sahabat, marilah sama-sama kita meneguhkan keimanan di hati dengan takdir ketentuan Ilahi supaya tidak tersungkur dek dunia ini!
Kenangan Valentine Seorang Mujahidah
www.iLuvislam.com
Editor: deynarashid


Aku lontarkan pandangan pada buih-buih putih. Buih demi buih. Ku alih pula pada ombak yang beralun, menghempas pantai. Setia, ombak dan pantai, bagai janji yang dipateri. Setiap masa ombak merindui pantai yang setia menanti.

Aku larikan pula bebola mataku pada camar yang berterbangan, sekali-sekala menyambar ikan-ikan kecil di laut, kemudian terbang bebas di angkasa. Ku usir pasir di kaki dengan hujung kasut, halus bersinar bila disinari matahari. Bebola yang bersinar lembut di ufuk timur menyenangkan. Ku berterima kasih pada redup pohon rhu yang menaungiku.

Kadang-kadang daun-daun kering berguguran menimpaku. Disapa pula bayu laut yang lembut, menenangkan. Sungguh, alam ciptaan Allah yang amat indah. Saling melengkapi. Pantai ini tidak pernah berubah, masih tetap cantik. Tidak teracun dengan pembangunan yang menggila, tetap setia menerima pengunjung.

5 tahun lalu, pantai ini sama seperti ini, yang bezanya peristiwa. Bezanya sejarah yang tak dapat diubah. Pantai ini pantai yang bernastolgia. Pantai ini berserakan dengan memori yang tak pernah aku cuba cantum. Biarlah ia begitu. Biarlah aku menikmati, mengutip memori demi memori, kemudian aku ketawa dan menangis. Pantai ini pantai yang bermakna. Pantai inilah yang merubah detik-detik sejarah hidupku. Memori yang tak akan ku padam sampai bila-bila. Biarlah ia sentiasa segar, sentiasa mekar. Sama seperti hari ini, di atas bongkah batu besar di bawah pohon rhu yang teduh, 5 tahun lalu, aku duduk di sini.

Sejak pagi lagi aku sudah berada di sini. Aku tunggang VR 125 sebelum menjamah sarapan pagi, membuatkan dahi mamaku berkerut. Pertanyaan mama ku biarkan tanpa jawapan. Hatiku pecah berderai, bagai kaca dihempas ke batu. Aku dapat rasakan hatiku bagai disiat-siat. Pedih. Sungguh pedih kekecewaan ini. Aku kemudiannya mengheret kakiku tanpa arah tujuan. Menyusuri pantai yang panjang. Aku cuba lontarkan kekecewaan ini ke tepi laut untuk melepaskannya, tapi aku tak mampu.

Masakan kasih yang dibina kukuh sebelum ini boleh ku lupakan begitu sahaja. Bolehkah janji sebelum ini dilupakan begitu sahaja??

Letih mengheret kaki menyusuri pantai, akhirnya aku memilih untuk duduk di atas sebongkah batu besar yang teduh diredupi sepohon rhu tua. Aku masih tidak dapat menerima apa yang sudah berlaku. Aku teresak-esak di atas bongkah batu bagaikan seorang kanak-kanak. Aku tenggelam dengan esakanku. Ajaibnya air mataku bagai tidak kering-kering mengalir membasahi pipiku yang sudah lencun. Aku teresak dan terus teresak sambil kutekupkan kedua tanganku di muka. Aku bagaikan berada di awang-awangan, dalam duniaku yang tersendiri. Aku terus hanyut. Hanyut dalam tangisanku.

“Assalamualaikum” Satu suara lembut memberi salam kedengaran dari sebelah kananku. Aku angkat mukaku. Kelihatan seorang gadis tersenyum memandangku. Aku kira dia tua sedikit daripadaku melihatkan wajahnya yang kelihatan matang. “Waalaikumussalam” Jawabku acuh tak acuh. “Boleh saya duduk?” Gadis itu memohon kebenaran untuk duduk di sebelahku. “Duduklah, lagipun bukan saya punya”. Aku masih acuh tak acuh. Lantas gadis itu duduk di sebelahku. Kemudian dia senyap, pandangannya di lontar jauh ke tengah laut.

Kemudian bibirnya seolah-olah menguntum senyum. Dia seolah-olah menikmati keindahan alam yang indah ini. “Cantikkan?” Gadis itu tiba-tiba bersuara setelah beberapa ketika mendiamkan diri. “Hmm?” Aku kurang jelas dengan soalannya. “Cantikkan alam ini? Ombak itu..” tunjuknya pada ombak yang beralun. “Alunan ombak seolah-olah menggambarkan hidup manusia, ada ketika gembira, ada ketikanya juga akan berduka. Ia sama, kerana keduanya akan terpampan pada pantai yang setia. Begitu juga manusia, duka itu akan ada akhirnya jua”. Aku tersentap. Gadis itu seolah-olah dapat membaca pemikiranku.

“Siapa awak ni?” Aku sangsi dengan kewujudan gadis ini. “Maafkan saya kerana terlupa memperkenalkan diri. Saya Izzah”. Dia tersenyum ikhlas sambil menghulurkan tangan. “Rieyn, Adrina” Tangannya ku sambut ragu-ragu. “Boleh kita sama-sama lalui ujian ini?” Dia tersenyum memandangku menyerlahkan keikhlasannya. Aku merenungnya tanpa kata. Aku tarik panjang nafasku kemudian ku lepas beransur-ansur.

Gadis ini bagaikan mengetahui apa yang bergolak di hatiku. “Luka di hati ini tak sama dengan luka fizikal. Luka fizikal dapat dirawat, tapi luka di hati ini terus begitu”. Ujarku lemah sambil menggigit bibir. Entah bagaimana aku mempercayai Izzah. Naluriku mengatakan dia gadis yang punyai prinsip. “Ujian bukannya untuk kita larikan diri, tetapi ujian adalah tarbiyah dari Allah, untuk kita lalui, kerana di sebalik ujian itu tersimpan sejuta hikmahnya”. Tenang Izzah menuturkan kata.

“Tapi hati ini terlalu kecewa. Hati ini bagai dirobek belati”. Aku menggagahkan diri untuk bersuara. Rasanya terlalu pedih untuk aku luahkan. Air mata kurasakan kembali bergenang. Perasaanku kembali bergelora bagaikan ombak di lautan. “Sebenarnya dah lama Izzah perhatikan Rieyn. Sejak Rieyn datang ke sini lagi. Izzah perhatikan Rieyn berjalan-jalan seorang diri di tepi pantai. Bila puas, Rieyn duduk kat batu ni kan?”. Izzah terangkan dengan jelas. Dan aku mula bercerita kepada Izzah.

Saya kenal Zamri setahun lalu. Dia boleh dikategorikan sebagai lelaki pilihan perempuan. Tinggi dan berwajah tampan. Orangnya juga bijak dalam pelajaran. Saya antara ramai wanita yang cuba mendampingi Zamri. Entah macam mana Zamri memilih saya sebagai temannya. Perhubungan saya dan Zamri mula intim dari hari ke hari. Tidak sah satu hari tanpa ber ‘sms’ dan telefon. Zamri seorang yang pandai mengambil hati. Dia selalu membeli hadiah untuk saya. Dia juga berjanji untuk menjaga saya sebaik mungkin. Kami digelar pasangan paling ideal di sekolah. Paling penting kami saling menyayangi. Pantai ini selalu menjadi saksi janji kami.

Saban minggu pantai ini menyambut kedatangan kami. Bersama kami melihat alunan ombak menghempas pantai lalu menghasilkan buih-buih putih. Juga kami berkejaran riang di gigi air mengutip kulit-kulit siput. Saya merasakan bahagia menyelubungi kami. Kami saling berjanji untuk sehidup semati. “Dalam usia semuda ini?” Izzah menyampuk ceritaku. “Ya, kami saling berjanji sehidup semati. Usia bukanlah penghalang kami. Kami mahu berjanji setia pada hari kekasih. Hari yang semua pasangan kekasih menyambutnya”. Sambungku. “14 Februari? Bukankah hari ini?” Izzah bagaikan tidak sabar. Tapi aku meneruskan ceritaku tanpa mempedulikan soalan Izzah.

14 Februari. Hari Valentine. Kami sudah berjanji untuk menyambutnya di sini. Di pantai yang indah ini. Tapi rupanya betullah kata orang-orang tua, kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Zamri gagal saya hubungi sejak minggu lepas. Telefon bimbitnya dimatikan. Saya tiada nombor telefon rumahnya. "Biar saya yang telefon awak." Dia selalu berkata begitu apabila saya meminta nombor telefon rumahnya. Dia telefon saya menggunakan telefon bimbitnya. Rumahnya juga tidak diberitahu kepada saya. Nanti tiba masanya saya akan tunjukkan. Dia menuturkan begitu apabila bertanyakan rumahnya. Tapi saya positif, mungkin dia tidak mahu diganggu.

Hingga ke hari inilah dia tidak dapat dihubungi. Dan kerana itulah saya di sini. Aku menamatkan ceritaku pada Izzah. “Saya mengerti perasaan awak. Setiap insan mempunyai fitrah untuk menyayangi dan disayangi”. Izzah berespon segera. “Tapi saya rasakan saya ditipu. Perasaan saya dipermain-mainkan”. Aku meluahkan perasaan yang bersarang di lubuk hati. “Rasulullah juga punyai perasaan menyayangi dan disayangi. Cintanya pada Khadijah, isteri Baginda tiada tolok bandingnya. Khadijahlah yang banyak menemani Baginda melalui ranjau perjuangan. Khadijahlah yang member perangsang kepada Baginda. Kasih sayang Khadijahlah menyelimuti hati Baginda tika keluh kesah”. Izzah pula bercerita.

“Betulkah begitu?” Aku menyoal kehairanan. Tidak pernah cerita ini diperdengarkan kepadaku. “Islam tidak menghalang kasih sayang. Buktinya ditunjukkan melalui Rasulullah s.a.w. Baginda menangis tika Khadijah meninggalkan alam ini. Sehinggakan tahun pemergian Khadijah digelar Tahun Berkabung. Kita boleh berkasih sayang tetapi jangan kita melanggar batas batasan agama kita”. Luncur Izzah menuturkan bicara.

“Islamlah cara hidup yang memenuhi fitrah manusia. Semua kehendak manusia dapat dipenuhi oleh Islam”. Izzah tersenyum memandangku. Hatiku terkesan dengan kata-kata Izzah tadi. Selama ini tiada orang yang berbicara topik ini denganku. Baba dan mama? Baba sibuk dengan politiknya. Lobi sana, lobi sini. Tabur duit sana, tabur duit sini. Wakil rakyat penggal depan sasarannya. Mama pula sibuk dengan persatuan wanitanya. Lawatan sana sini. Setiap hujung minggu ada aktiviti. Tinggallah aku keseorangan di rumah dengan Mak Cik Kiah, pembantu rumahku. Abangku di IPT. Adikku di sekolah berasrama penuh.

“Mahukah Rieyn bersama kami?” Izzah bersuara setelah melihat aku diam sejenak. “Awak buat apa kat sini sebenarnya? Awak datang dengan siapa lagi?” Aku inginkan kepastian. “Saya datang bersama kawan-kawan. Sebenarnya kami ada perkelahan. Kalau Rieyn nak sertai kami bolehlah. Kat hujung sana tu..” ujar Izzah sambil menunjukkan tapak perkhemahannya. “Boleh juga” Cepat aku menyatakan persetujuan. Aku sebenarnya ingin mengenali Izzah dengan lebih rapat. Gadis ini nampaknya punyai banyak keistimewaan.

Lantas aku telefon mama. Maklumkan aku tidak balik rumah malam ini. Mama diam tanpa kata. Bukan kali pertama aku tidur di luar. Lantas aku mengatur langkah-langkah mengikuti Izzah ke perkhemahannya. Alangkah terkejutnya aku, kesemua mereka bertudung labuh. Aku ingatkan Izzah seorang sahaja yang bertudung labuh dan berjubah. Satu fenomena baru bagiku. Sekumpulan gadis berjubah dan bertudung labuh berkelah! Setahu aku golongan seperti ini amat terbatas pergerakan. Jubah dan tudung labuh itu bagai memenjara fizikal dan mental. Namun hari ini anggapanku sebelum ini silap. Tudung labuh bukanlah membataskan aktiviti seharian. Bahkan mereka sangat peramah dan berlemah lembut.

Musyrifah, Husna dan ramai lagi menghulurkan salam ukhwah kepadaku. Aku jadi malu. Aku tidak bertudung! Aku pakai t-shirt! Aku berseluar jeans! Gaya ranggi wanita moden! Namun mereka tidak memandang aku lain dari mereka. Aku dilayan bagaikan seorang puteri. Ombak berderu menghempas pantai mematikan kenanganku.

Itu cerita 5 tahun lalu. Detik-detik yang merubah perjalanan hidupku. Tarikh yang ku ingati bukan kerana Valentine, yang kemudiannya baru aku dapat tahu umat Islam tidak menyambutnya kerana ia merupakan perayaan penganut Kristian untuk mengingati seorang paderi yang giat menyebarkan agama Kristian hingga ke akhir hayat.

Izzah tidak pernah mengerti erti putus putus asa dalam membimbingku ke jalan yang benar. Izzahlah yang mengajarku berjemaah. Mengajarku erti tadhiyyah dalam berjuang. Izzahlah yang mengajarku erti perjuangan. Izzahlah yang mencelikkan mataku terhadap penderitaan umat Islam di Palestin, di Iraq, di Afghanistan, di Kaashmir. Juga di sini.

Aku melalui ujian yang mencabar tetapi inilah ganjaran untuk mereka yang memilih jalan ini. Aku dapat rasakan usiaku sepanjang perjuangan. Aku teringat kata-kata Syed Qutb, pejuang yang syahid di tali gantung. Katanya “orang yang hidup untuk perjuangan tidak akan merasa pendek dengan umurnya, kerana umurnya sepanjang perjuangan yang akan berterusan”.

Hari ini, di pantai ini aku memakai tudung hijau sutera Turki bercorak fauna berserta jubah juga berwarna hijau. Warna kesukaan Rasulullah. Tudung dan jubah ini sebenarnya hadiah dari Izzah sempena persahabatan kami pada saat pertama kali kami bertemu 5 tahun yang lalu. Lambang perjuangan katanya.

Buat Izzah, aku nukilkan kembali seuntai kata yang aku temui semasa menatap sebuah majalah. Mungkin penulisnya mendedikasikan buat kekasihnya, tapi tidak mengapa rasanya aku menukilkan buat sahabat seperjuangan.


Hari ini sekali lagi aku menitiskan air mata di pantai yang indah ini. Air mata kali ini bukanlah air mata yang sia-sia. Air mata buat sahabat seperjuangan yang pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Izzah pergi menemui Pencipta. Saban tahun aku pasti ke sini. Mengutip memori yang berserakan. Memori yang akan ku pastikan terus segar di hatiku. Izzah, pengorbananmu semulia namamu. Tinggallah aku meneruskan perjuangan…
--------------------------------------------------------------------------------


Mengapa Orang Yahudi Bijak?
www.iluvislam.com

Editor: doraemong13



Mengapa Yahudi Bijak? Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship di beberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu mengapa Yahudi bijak? Memang tidak dapat dinafikan ramai cendekiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, engineering, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya. Ketika tahun kedua, akhir bulan Disember 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau oleh manusia sendiri? Adakah kebijaksanaan boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran? Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni.

Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin. Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, agama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum-kaum lain. Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku matematik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikannya, oleh kerana saya memang minat tentang matematik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, ya, ini untuk anak saya yang masih di dalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semoga ia menjadi genius apabila dewasa kelak. Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya.


" ...sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami... "

Berbalik kepada matematik tadi, tanpa merasa jenuh beliau membuat latihan matematik sehingga beliau melahirkan anak. Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu, dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan. Menurut beliau ini adalah adat orang-orang Yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi satu kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan. Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yang sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam. Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang ke rumah Yahudi anda akan dihidangkan buah-buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan karbohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah-buahan, ini akan menyebabkan kita rasa mengantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran di sekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali-kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dan merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak (bodoh atau lembab). Suatu penemuan yang dahsyat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. Ironinya, pemilik & pengeluar rokok terbesar adalah.... (tekalah sendiri..!)

Pemerhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, pemakanan anak-anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah-buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever). Di dalam pengamatan saya, kanak-kanak Yahudi sungguh bijak dan rata-rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan dari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka, bermain muzik dan memahami nota-notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak-kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) dengan itu terdapat ramai sekali genius muzik terdiri dari kaum Yahudi. Seterusnya dari darjah 1 hingga 6, anak-anak Yahudi akan diajar matematik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak-anak di California, ianya jauh berbeza dari segi IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!! Segala pelajaran dengan mudah ditangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi, sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yang diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perkhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah). Disini murid-murid diberi penekanan dengan matapelajaran sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatan lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institut tinggi di politeknik dan universiti. Satu lagi yg diberi keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Diakhir tahun di universiti, para penuntut dibidang perniagaan dikehendaki melakukan projek dan mempraktikkannya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) mendapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai perniagaan dunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen dikepala, banyak agama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat menstimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang-orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yang pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah! Berpusat di New York, dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yang berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yang bernas, jawatankuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatankuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell computer, Coca-cola, DKNY, Oracle, perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus-ratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar di persatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.




Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yang bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan matematik yang mudah tetapi konsisten disamping mendengar muzik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yang elok dan berhasiat yang baik untuk otak, menghayati muzik sejak kecil adalah baik sekali untuk pertumbuhan otak kanak-kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak-anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yang memerlukan tumpuan yang tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak. Merokok menjanjikan jenerasi yang moron (goblok) dan sudah tentu gene bodoh akan mengikuti generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7!!! Ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menakjubkan sekali!!! Dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya negara Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!! Anda mungkin musykil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat sahaja di Indonesia, jika anda ke Jakarta, di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asap rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ 0.70cts!!! Dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat disana? Hasil apakah yang dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai Bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan matematik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Dalam tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal agama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Pharaoh (firaun) hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yang ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yang bijak seperti Yahudi? Jawapannya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendidik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri pada cucu saya, setelah saya mengajar anak saya melalui program yang telah saya nyatakan di atas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esei sepanjang 5 mukasurat penuh. Eseinya hanyalah mengenai mengapa saya gemarkan tomato! Selamat sejahtera dan semoga kita dapat melahirkan manusia yang bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.